Antonio Conte berterima kasih kepada pemain dan kakitangan Chelsea atas usaha mereka selama tempoh dua tahun -- tetapi langsung tidak menyebut bekas majikannya di Stamford Bridge.

Hala tuju Conte sememangnya sudah diramalkan, namun hanya disahkan pada Jumaat lalu, dan seperti dijangkakan, rakan senegaranya dari Itali, Maurizio Sarri, dilantik selaku penggantinya pada hujung minggu lalu.

Bekas pengurus Juventus itu mendominasi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim sulungnya tetapi gagal mempertahankan gelaran mereka musim lalu.

Conte meluahkan rasa tidak puas hati dengan dasar perpindahan kelab itu dan selepas menamatkan liga di tangga kelima, bayangan dia akan dipecat semakin nyata biarpun menjuarai Piala FA menerusi kemenangan 1-0 ke atas Manchester United.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan saya di Chelsea di atas kerja keras dan sokongan mereka sepanjang dua musim lalu yang membolehkan kami bersama-sama memenangi Liga Perdana dan Piala FA," kata pengurus berusia 48 tahun itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengurus Liga.

"Kepada para pemain, yang bakat dan komitmen mereka sangat penting untuk kejayaan kami, saya ucapkan terima kasih kepada atas segala-galanya. Seronok bekerja dengan mereka setiap hari.

"Kepada kakitangan saya yang selalu bekerja keras, saya harus berterima kasih dan syabas dengan sikap profesionalisme dan dedikasi mereka," katanya.

Conte, yang sudah memulakan latihan pra-musim Chelsea sebelum pemecatannya, disahkan turut menerima sambutan hangat daripada penyokong kelab berkenaan.

"Saya sangat menikmati tempoh saya di England dan London. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat Chelsea yang mengagumkan saya serta keluarga," katanya.

"Adalah hebat untuk saya dapat berkongsi emosi, keghairahan saya sepanjang dua musim yang tidak dapat dilupakan bersama penyokong Chelsea yang menakjubkan ini yang akan sentiasa berada di hati saya."

Setelah dikaitkan dengan jawatan di Itali dan Real Madrid, Conte dijangka berehat sementara sambil menambah: "Saya harap Chelsea akan terus berjaya dan saya ucapkan selamat maju jaya untuk musim depan.

"Saya telah menempa banyak kenangan ketika bersama Chelsea yang akan saya sematkan untuk cabaran berikutnya."