Pengurus Chelsea, Antonio Conte, mahu John Terry menangguhkan persaraannya dan terus beraksi sebagai pemain pada musim akan datang.

Bekas kapten England itu akan meninggalkan Stamford Bridge apabila kontraknya berakhir pada penghujung musim ini setelah menjuarai 17 trofi selepas 19 tahun bersama The Blues.

Terry telah memberikan petanda bahawa kariernya semakin menemui jalan penghujung tetapi masih menerima tawaran daripada Swansea yang mahu mendapatkan khidmat pertahanan veteran itu.

Conte membandingkan Terry setanding dengan beberapa pemain hebat di Itali, termasuk Francesco Totti dari Roma dan bekas pertahanan AC Milan, Paolo Maldini, dan mahu terus melihatnya beraksi pada musim hadapan.

"Terry masih berkemampuan untuk terus beraksi," kata Conte.

"Kami menyedari bahawa dia mahu beraksi secara tetap, ia merupakan sebab utama dia mahu meninggalkan kelab ini.

"Terry merupakan seorang pemain yang setaraf dengan Totti yang beraksi untuk Roma sepanjang kariernya. Sama seperti (legenda Juventus) Alessandro Del Piero dan Maldini di Milan."