Pengendali Chelsea, Antonio Conte, menyanjung anak buahnya kerana menampikan aksi 'sempurna' selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Southampton 2-0 di St Mary.

Gol oleh Eden Hazard dan Diego Costa mengesahkan kemenangan berturut-turut The Blues musim ini, sekaligus memastikan mereka kini hanya satu mata di belakang pendahulu, Manchester City.

Conte ternyata puas hati dengan persembahan mantap barisan pertahanan di samping ketajaman jentera serangan dan percaya keyakinan anak buahnya itu akan berterusan selepas aksi malam tadi.

"Saya berpuas hati dengan perlawanan ini," dia memberitahu BBC Sport. "Ini merupakan perlawanan keempat berturut-turut kami tidak membiarkan gawang dibolosi. Cukup menakjubkan. Pemain-pemain saya semakin yakin.

"Kami tahu perlawanan ini satu ujian kerana Southampton bukan lawan mudah. Penting untuk kami memenangi perlawanan seperti ini.

"Namun, ini semua sudah berlalu dan kami perlu fokus untuk lawan seterusnya berdepan pasukan mantap seperti Everton.

"Kami menghasilkan banyak peluang. Ia satu perlawanan yang sempurna apabila jentera serangan menjaringkan gol dan barisan pertahanan memastikan kubu kami kekal kebal.

"Mereka layak menerima kemenangan ini. Mereka telah bekerja keras.

"Sebagai seorang jurulatih, keputusan ini sangat menakjubkan."

Kemenangan berturut-turut Chelsea menyaksikan mereka kini mengutip 22 mata daripada 10 perlawanan, dua kali ganda berbanding tempoh sama ketika dikendalikan Jose Mourinho musim lalu.