Pengendali Chelsea, Antonio Conte, mengharapkan kecederaan yang dialami Pedro tidak serius selepas pemain itu terpaksa dikeluarkan menuju masa rehat berdepan Arsenal ekoran kecederaan buku lali.

Pedro -- yang terlepas peluang membuka tirai jaringan dalam aksi yang berkesudahan seri tanpa jaringan -- menerima rawatan setelah dikasari Nacho Monreal.

Conte kemudian memperkenalkan Tiemoue Bakayoko bagi menggantikan bekas pemain Barcelona itu.

Pedro kini telah mengalami tiga kecederaan berturut-turut berdepan Arsenal.

Dia mengalami gegaran kepala ketika terlibat dalam perlanggaran bersama penjaga gol United, David Ospina, dalam aksi pra-musim di China.

Pemain berusia 30 tahun kemudian terlepas aksi pembukaan musim ini ekoran mengalami satu lagi kecederaan buku lali berdepan Arsenal dalam kejohanan Perisai Komuniti, bulan lalu.

"Selepas babak pertama, Pedro mengalami kecederaan kerana dia telah ditendang di bahagian buku lali jadi saya cuba mengimbangi bahagian tengah dengan membawa pasuk Bakayoko," kata Conte.

"Dia tidak 100 peratus cergas menuju masa rehat, jadi saya membuat keputusan untuk melakukan pertukaran pemain.

"Kami menanti keputusan pemeriksaan doktor tetapi saya harap ia tidak serius. Kami kehilangan khidmat Pedro ketika berdepan Arsenal di China sebelum ini."

Ini merupakan kali pertama Chelsea gagal merakamkan jaringan selepas 27 aksi di laman sendiri di bawah pengendalian Conte tetapi bekas pengendali Itali itu tidak kecewa dan menegaskan Arsenal menampilkan aksi berkualiti.

Ditanya sama ada dia terkejut dengan persembahan The Gunners, pengurus itu berkata: "Tidak. Ini kerana setiap aksi berdepan Arsenal tidak pernah berjalan dengan mudah. Kami sedar bakal berdepan saingan sengit.

"Keputusan seri ini amat baik buat kedua-dua pasukan. Kami mencipta peluang dan masing-masing cuba melakar kemenangan.

"Kami bermula baik dalam tempoh 20 minit pertama sebelum bahagian tengah sedikit bergelut menghampiri masa rehat.

"Kamu lupa Arsenal adalah antara pasukan terbaik di England, jadi atas faktor ini kami sedar kemampuan mereka.

"Arsenal memiliki barisan pemain yang mantap."