Antonio Conte akan gembira jika kelab bersetuju untuk memperkukuhkah lagi skuadnya ketika jendela perpindahan bulan ini.

Chelsea dilaporkan sedang mengintai peluang untuk mendapatkan khidmat penyerang nombor 9 -- Edin Dzeko, Fernando Llorente, malah nama pemain veteran Stoke City, Peter Crouch, turut diketengahkan dalam usaha untuk memberikan sokongan kepada Alvaro Morata yang sedang bergelut mendapatkan sentuhan terbaik.

Bekas pengurus skuad kebangsaan Itali itu, yang enggan membincangkan kualiti yang dimiliki seseorang pemain, bagaimanapun memberi bayangan bahawa kedatangan pemain-pemain baru bulan ini amat dialu-alukan.

Ditanya mengenai keyakinan beliau terhadap pemain baru yang bakal menyertai kelab, Conte menjawab, "Adakah saya yakin? Yakin adalah satu perkataan yang besar, kami perlu terus menunggu.

"Saya telah memberikan pendapat kepada kelab tetapi segala keputusan terletak di tangan mereka. Saya hanya perlu menunggu ia dilaksanakan.

"Jika mahu membantu kami, saya sangat gembira dan jika tidak, kami perlu terus memuaskan hati penyokong pasukan ini," katanya.

Ross Barkley, yang menyertai skuad 5 Januari lalu, telah tampil beraksi dalam aksi persahabatan pada Khamis dan berada di dalam skuad untuk perlawanan berdepan Brighton and Hove Albion.

"Barkley berada dalam kondisi yang baik. Dia berada di dalam skuad dan bersama kami menghadapi aksi seterusnya," tambahnya.

Juara bertahan itu bakal tanpa Gary Cahill dan Cesc Fabregas manakala Morata dan Pedro digantung daripada beraksi.