Conte: Chelsea berhak raih keputusan seri

By Staff Writer 2 April 2017 13772
Conte: Chelsea berhak raih keputusan seri
CHELSEA 1 CRYSTAL PALACE 2

Antonio Conte berasakan Chelsea berhak meraih keputusan seri ketika bertemu Crystal Palace selepas tewas mengejut 2-1 di Stamford Bridge, semalam.


Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam landasan untuk meraih kemenangan apabila Cesc Fabregas membuka jaringan seawal minit kelima, namun The Eagles bangkit dengan dua jaringan pantas Wilfried Zaha dan Christian Benteke.

Chelsea hampir menyamakan kedudukan dalam beberapa percubaan, tetapi penjaga gol Palace, Wayne Hennessey memastikan tiga mata penuh diraih pasukan pelawat.

"Saya berpendapat kami perlu meraih keputusan seri. Kami telah banyak menghasilkan peluang," kata Conte.

"Tetapi inilah bola sepak. Kami perlu menerima keputusan ini.

"Kami menjaringkan gol di awal permainan dan bolos dua kali. 

"Di dalam perlawanan di England, apa-apa sahaja boleh berlaku. Saingan liga ini sangat sengit. Kami berdepan lawan yang sukar dan memiliki pemain-pemain berkualiti.

Chelsea masih lagi menerajui EPL dengan kelebihan tujuh mata ke atas Tottenham, tetapi Conte menegaskan mereka tidak boleh lagi kehilangan mata ketika bertemu Manchester City, pada Rabu.

"Tumpuan kini terarah kepada perlawanan seterusnya.

"Jika kami menang, lebih mudah buat kami memberikan tumpuan untuk perlawanan bertemu Manchester City."

About Author

Staff Writer

Comment