Antonio Conte percaya semua pemain Chelsea sepatutnya diberi anugerah individu pada akhir musim ini asalkan pasukan itu memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris.

Kelebihan Chelsea di puncak liga dipotong kepada tujuh mata oleh Tottenham, semalam, tetapi skuad Conte tetap menjadi pilihan untuk menjulang trofi liga juara pada Mei ini.

N'Golo Kante dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Liga Perdana dalam Anugerah Bola Sepak London tetapi Conte tidak mahu memilih hanya satu individu daripada skuadnya.

"Anugerah jenis ini adalah lebih baik diberikan pada akhir musim ini dan saya berharap agar anugerah ini diberi kepada semua pemain saya," kata Conte.

"Musim ini, sehingga kini, semua pemain saya bermain dengan baik dan berhak mendapat yang terbaik. Tetapi ia penting dalam kes ini untuk menamatkan saingan dengan cara yang betul dan cuba untuk menang. Hanya jika anda menang, orang akan mengingati anda."

Chelsea membuat kunjungan dekat ke West Ham, hari ini, dengan kemenangan dapat melebarkan kelebihan mereka kepada 10 mata, tetapi Conte menegaskan matlamatnya adalah semata-mata memastikan kelab melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Kami memulakan musim dengan cuba untuk melawan sehingga akhir bagi memenangi kejuaraan, mencuba dan berjuang untuk berada dalam kedudukan yang betul untuk mara ke Liga Juara-Juara. Ini adalah sasaran kami," kata Conte.

"Tetapi, yang pasti, ia tidak mudah untuk memulakan musim ini dan tahu bahawa enam pasukan kuat berjuang merebut gelaran dan (slot) Liga Juara-Juara.

"Jangan lupa dengan enam pasukan ini, dua tidak akan bermain dalam Liga Juara-Juara pada musim akan datang. Mereka perlu bermain dalam Liga Europa, yang agak berbeza dengan Liga Juara-Juara. Tetapi sekarang liga ini adalah sangat-sangat sukar.

"Untuk memenangi kejuaraan dan juga mencari tempat untuk bermain dalam Liga Juara-Juara, ia tidak mudah. Tetapi ia adalah satu persaingan hebat untuk setiap pemain, kelab dan pengurus, dan kami mahu kekal di sana dan cuba melawan untuk memenanginya."

Kekurangan pertandingan Chelsea di pentas Eropah memberi kelebihan buat Conte musim ini, tetapi jurulatih kelahiran Itali itu berminat untuk membawa pasukannya ke Liga Juara-Juara pada musim depan.

"Saya menyaksikan siaran langsung perlawanan Manchester City menentang Monaco kerana saya mahu bernafas dalam suasana yang betul, dan merasai permainan jenis ini," kata Conte.

"Pada masa akan datang juga, saya berharap dapat duduk dan menyaksikan permainan secara langsung. Saya melihat permainan yang hebat. Untuk melihat lapan gol bukannya mudah dan ia bukan biasa untuk mencarinya."