Antonio Conte mendapati nasib Chelsea telah berubah selepas pasukannya kini hanya dibezakan dengan dua mata daripada kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Susulan kekalahan 1-0 Tottenham Hotspur di tangan West Bromwich Albion pada Sabtu lalu, jaringan tunggal Olivier Giroud membolehkan Chelsea membenam Liverpool 1-0 di Stamford Bridge untuk meletakkan The Blues dua mata di belakang skuad kendalian Mauricio Pochettino itu tatkala aksi berbaki dua perlawanan.

Liverpool kini tiga mata mengatasi skuad bimbingan Conte tetapi The Kop hanya mempunyai satu perlawanan untuk menamatkan saingan musim ini.

"Sebulan lalu, segala-galanya tampak mustahil buat kami untuk membayangkan perjuangan ke Liga Juara-Juara Eropah sehingga aksi terakhir tetapi kini, harapan itu wujud," kata Conte.

"Kami mendapatkan tiga mata dalam setiap perlawanan. Lawan kami mencicirkan mata tetapi masa depan bukan berada dalam tangan kami. Kami cuba untuk meraih tiga mata bagi meneruskan tekanan buat pasukan yang mendahului kami.

"Kami harus kekal untuk berusaha dan mencapai keinginan serta terus menghidupkan peluang untuk ke Liga Juara-Juara," hujahnya.

Alvaro Morata tidak beraksi ketika bertemu Liverpool akibat kecederaan yang diterima ketika sesi latihan tetapi dia menjangkakan penyerang Sepanyol itu akan kembali dalam aksi bertemu Huddersfield Town pada Rabu ini.

"Ia tidak serius.

"Saya ada memikirkan untuk menurunkannya dalam pertemuan dengan Huddersfield. Diharapkan dia dapat beraksi," katanya lagi.