Jurulatih Chelsea, Antonio Conte, memuji David Luiz, yang dia percaya adalah salah seorang pemain pertahanan terbaik di dunia.

Luiz telah dijual kepada juara Perancis, Paris Saint-Germain (PSG), pada 2014 selepas bekas pengurus, Jose Mourinho, hilang sabar dengan pemain Brazil itu tetapi Conte membawanya kembali ke Stamford Bridge pada tahun lalu.

Ia terbukti satu keputusan bijak, dengan Luiz lebih matang dan terus menyinar bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, yang mempunyai peluang untuk melebarkan jarak tujuh mata apabila menentang Manchester United, malam ini.

Menyaksikan transformasi Luiz dalam bentuk pertahanan yang konsisten dan boleh dipercayai, Conte memuji pemain berusia 29 tahun itu.

"Ketika David (Luiz) tiba di England, saya dengar banyak perkara yang buruk mengenainya," kata Conte. "Mengapa dia kembali ke Chelsea kerana, pada masa lalu, dia beraksi teruk dan bukan pemain pertahanan?

"Ini adalah satu cabaran yang besar untuknya tetapi juga untuk saya dan apabila kami mengambil keputusan membelinya, untuk membawanya kembali, kami pasti kami mengambil seorang pemain yang baik.

"Kami meletakkan dia kembali sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik di Eropah dan, saya harap, di dunia."

Dengan Luiz terlepas Anugerah Pemain Terbaik Tahunan PFA, Conte berkata: "Ia lebih sukar bagi pertahanan itu, tidak? Atas sebab ini, Paolo Maldini tidak pernah memenangi Pemain Terbaik dalam anugerah dunia.

"Tetapi kedudukan ini, sebagai pemain utama dalam tiga pertahanan, sesuai untuk David bermain.

"Dia mempunyai teknik yang baik, dia kuat, boleh memulakan penguasaan kami dan mempunyai personaliti untuk melakukannya.

"Dia juga memiliki dua pemain pertahanan yang benar-benar baik di sisinya, Gary (Cahill) dan (Cesar) Azpi (Azpilicueta), atau Kurt Zouma, Nathan Ake atau John Terry."