Nathaniel Clyne meninggalkan siri jelajah Liverpool di Amerika Syarikat (AS) atas alasan keluarga, demikian pengesahan dibuat kelab itu.

Pertahanan tersebut hanya memulakan dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu ekoran kecederaan tetapi tersenarai dalam kesebelasan utama Liverpool dalam kemenangan 2-1 dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) ke atas seteru EPL, Manchester City, semalam.

Begitupun, Clyne akan pulang ke England dan ini bermakna dia bakal terlepas pertembungan dengan Manchester United di Michigan esok, dengan kelab itu mengumumkan berita berkenaan melalui satu kenyataan ringkas.

Naby Keita juga dalam keraguan untuk tampil dalam perlawanan itu kerana tonggak tengah itu dijangka terlepas sesi latihan akibat kecederaan leher.

Keita tidak memainkan peranan dalam kemenangan ke atas City dan Liverpool berkata pemain antarabangsa Guinea itu akan diketepikan sebagai langkah berjaga-jaga.

Liverpool bakal memulakan musim baru dengan menghadapi West Ham pada 12 Ogos ini.