Pertahanan Manchester City, Gael Clichy, berkata pengurus Manchester City, Pep Guardiola, masih lagi dalam fasa membiasakan diri dengan bola sepak Inggeris.

Skuad bimbingan Guardiola memenangi dua perlawanan ketika berdepan Watford dan Arsenal tetapi masih menduduki tangga ketiga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu liga, Chelsea, menjelang pertemuan dengan Hull City sehari selepas Krismas.

Clichy mengharapkan kemenangan baru-baru ini -- terutama sekali ke atas Arsenal 2-1 di Stadium Etihad -- akan mengubah nasib City tetapi mengakui pengurusnya masih memerlukan lebih banyak masa untuk membiasakan diri dengan gaya permainan di England.

"Saya tidak berasakan kami belum mencapai tahap terbaik kami lagi," ujar Clichy kepada Sky Sports.

"Pengurus pasukan masih lagi cuba membiasakan diri dengan bola sepak Inggeris.

"Kami harus tunggu dan lihat. Sejak menewaskan Watford, sesuatu sudah berubah.

"Kemenangan ke atas Arsenal juga merupakan sangat penting buat kami, sekurang-kurangnya kami tidak ketinggalan mata dengan pendahulu liga, Chelsea.

"Ia merupakan perlawanan yang penting kerana mereka merupakan antara pasukan terbaik di England."

Clichy berkata dia menikmati cabaran bekerja di bawah pemantauan Guardiola yang memberikannya beberapa posisi yang berbeza sejak awal musim ini.

"Saya mengambilnya sebagai satu pengajaran yang baru dan ia membantu meningkatkan mutu permainan saya."

Selepas bertemu Hull, City akan berkunjung ke Liverpool pada 31 Disember.