Pengurus Swansea City, Paul Clement, menegaskan pemain pinjaman, Renato Sanches, akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gagal menyerlah dalam penampilan pertama ketika mereka tewas 1-0 kepada Newcastle, semalam.

Sanches yang menyertai Swansea dari Bayern Munich tidak mempamerkan aksi yang terbaik ketika berdepan Newcastle yang meraih kemenangan menerusi jaringan tunggal Jamaal Lascelles pada babak kedua perlawanan.

Pemain berusia 20 tahun itu telah digantikan dengan Wilfried Bony pada minit ke-69 dan menamatkan perlawanan dengan peratusan hantaran yang paling rendah dalam kalangan pemain tengah The Swans.

Bagaimanapun, Clement yakin bintang Euro 2016 itu mampu memberikan persembahan yang setaraf dengan reputasinya.

"Dia telah menyertai kelab baru dan rakan sepasukan yang baru, bahasa dan budaya yang berbeza," kata Clement.

"Terdapat perkara yang harus dipertingkatkannya bagi perlawanan akan datang."

Clement turut mempertahankan pendekatan kawalan mengikut zon yang diterapkannya ketika sepakan sudut selepas kapten Magpies, Lascelles, menanduk masuk hantaran Matt Ritchie untuk membawa pulang tiga mata.

"Mana-mana sistem sekalipun memiliki kekuatan dan kelemahan yang tersendiri," katanya.

"Kawalan mengikut zon banyak membantu kami musim lepas. Kami hanya bolos dua kali musim ini, jadi terdapat beberapa perkara yang diperlu dinilai.

"Kami tidak perlu menukar cari kami bertahan, kami akan cuba memantapkannya lagi dalam perlawanan akan datang."