Pengendali Tottenham, Mauricio Pochettino, berkata Manchester City tidak bernasib baik gagal mengutip tiga mata dalam pertembungan yang berkesudahan 2-2 di Stadium Etihad, semalam.

City berada di landasan tepat untuk melakar kemenangan selepas dimalukan Everton 4-0 minggu lalu ketika mendahului perlawanan 2-0 hasil jaringan Leroy Sane dan Kevin De Bruyne.

Bagaimanapun, Spurs bangkit menerusi jaringan Delle Alli sebelum Son Heung-Min meledak gol penyamaan pada minit akhir perlawanan.

Pochettino memuji semangat yang ditampilkan anak buahnya untuk bangkit dan mencuri satu mata tetapi mengakui Spurs berdepan masalah dalam mengekang City, terutama dalam babak pertama.

"City menguasai perlawanan dalam babak pertama dan mereka sepatutnya pulang dengan tiga mata tetapi inilah bola sepak," Pochettino memberitahu BT Sport.

"Dalam babak kedua, kami bermain dengan lebih baik dan meskipun ketinggalan 2-0, pemain tidak menyerah kalah, sebaliknya menampilkan semangat juang tinggi. Satu mata ini cukup bermakna.

"Pada awal perlawanan, sukar untuk kami beraksi seperti yang sepatutnya. Secara jujur, ia bukan aksi terbaik kami dalam babak pertama, kami sering hilang bola dan City pula mempamerkan persembahan mantap.

"Tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Jadi, penting untuk bingkas bangkit apabila menyedari sedang ketinggalan."

Pada masa sama, pengadil, Andre Marriner, menafikan dua rayuan sepakan penalti oleh Sterling, namun Pochettino berasakan Sane menggunakan tangannya untuk mengawal bola sebelum meledak gol pembukaan.

"Pada saya, Sane menggunakan tangannya sebelum menjaringkan gol pembukaan tetapi sukar dilihat oleh pengadil," ujar Pochettino.

"Bola sepak England cukup berbeza, di sini saya tidak akan mengkritik persembahan pengadil, adalah lebih baik saya memberi fokus kepada aksi bola sepak sahaja."