Manchester City ternyata lebih cemerlang daripada Manchester United sejak kebelakangan ini, tetapi pengurus, Pep Guardiola, percaya pasukannya masih ketinggalan hampir sedekad untuk menghasilkan pencapaian The Red Devils.

Selepas Manchester City dibeli oleh Kumpulan Abu Dhabi Bersatu, ia merupakan satu perubahan yang besar buat pasukan tersebut dengan meraih enam gelaran sejak 2011, termasuk dua kejuaraan liga pada tahun 2012 dan 2014.

Ternyata tuah City lebih baik berbanding United, yang gagal memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013 -- gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL) pada musim 2014-15 dan 2016-17.

Bagaimanapun, Guardiola yang mengendalikan City, berasakan mereka perlu lebih konsisten bersaing dalam UCL jika mahu mengejar pencapaian yang dicipta United.

"Taktikal sangat penting kerana setiap pemain mengetahui apa yang harus mereka lakukan di atas padang. Hubungan dan sikap pemain di luar padang juga harus diberikan keutamaan," kata Guardiola.

"Segala-galanya adalah penting, gaya hidup kami dan hubungan bersama pihak media untuk membuktikan betapa bagusnya kelab ini.

"Kami tidak memiliki sejarah, jersi seperti Barcelona, Real Madrid, Juventus, Bayern Munich atau Manchester United, dan gelaran yang telah dimenangi mereka.

"Untuk berada di Eropah -- kami perlu bersaing dalam UCL setiap musim -- ia merupakan perkara yang penting buat kelab untuk memenangi lebih daripada satu gelaran, percayalah kata-kata saya."