Manchester City bersedia membelanjakan GBP58 juta (RM295 juta) bagi membawa masuk penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, menggantikan Sergio Aguero.

Pengendali City, Pep Guardiola, berkata penyerang Argentina itu -- yang tidak beraksi berdepan Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu -- dibenarkan meninggalkan kelab itu jika itu yang dimahukannya.

Hubungan di antara Aguero dan Pep dikhabarkan menjadi tegang dan desas-desus tersebut mula tersebar di kem The Citizen.

Paris Saint Germain (PSG) dan AC Milan dilaporkan berminat mendapat khidmat penyerang itu tatkala Real Madrid -- yang pernah menyatakan hasrat sebelum ini -- digantung daripada membeli pemain selama dua musim.

Aubameyang turut mengakui bahawa ayahnya -- yang turut bertindak sebagai ejen -- telah mengadakan pertemuan bersama City pada awal musim ini, namun gagal mencapai persetujuan.

Sunday Express mendakwa kedua-dua belah pihak sekali lagi menghubungi satu sama lain bagi membincangkan perpindahan.

Guardiola sebelum ini turut tidak berselindung dengan hasratnya mahu membawa Pemain Terbaik Bundesliga musim lalu itu ke Etihad.