Pep Guardiola berkata pemain dan penyokong Manchester City perlu percaya bahawa mereka mampu menewaskan sesiapa sahaja selepas membelasah West Ham 5-0 pada Jumaat.

City bergelut untuk mengekalkan aksi konsisten sejak ketibaan Guardiola, namun berada di tahap terbaik di Stadium London apabila mereka mengesahkan slot ke pusingan keempat Piala FA.

Guardiola kini telah melakar lima kemenangan selepas enam perlawanan tetapi kekalahan 1-0 di tangan Liverpool seakan-akan memadamkan hasrat City dalam perebutan kejuaraan.

Tatkala pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah semakin menghampiri, Guardiola mahu pemainnya memiliki mentaliti kuat bagi menghadapi lawan hebat.

"Kami mampu menguasai hantaran bola berbanding perlawanan sebelum ini di samping berjaya mencipta banyak peluang. Sebelum sepakan penalti tersebut, kami berjaya mencipta tiga hingga empat peluang keemasan," Guardiola memberitahu BBC Sport.

"Sangat penting untuk melakar kemenangan di tempat lawan. Ia bukan mudah. Saya berharap ia akan membantu pemain mempercayai kemampuan masing-masing.

"Saya mahu penyokong juga mempercayai bahawa kami merupakan sebuah pasukan yang kuat.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku sebelum ini tetapi City adalah sebuah kelab yang baik tetapi pemain perlu yakin bahawa mereka mampu beraksi dengan baik, tidak kira siapa pun pihak lawan."