Kapten Manchester City, Vincent Kompany, menegaskan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu harus terus menendang jiran mereka, Manchester United, ketika mereka rebah yang menyaksikan Red Devils terus bergelut susulan persaraan Sir Alex Ferguson.

United belum memenangi EPL sejak 2013 -- musim terakhir Ferguson di Old Trafford -- manakala City menikmati perubahan momentum dan dominasi di Manchester.

City memecah rekod pungutan mata tertinggi yang menyaksikan anak buah Pep Guardiola itu mengatasi United dengan 19 mata musim lalu sementara pasukan kendalian Jose Mourinho itu tewas dua aksi pembukaan musim ini.

Kompany melahirkan simpatinya terhadap United, namun dia menuntut City agar mengambil kesempatan itu dengan meraih lebih banyak trofi.

"Saya akan berkongsi sedikit (kejayaan) dengan jiran kerana saya mempunyai belas kasihan kepada mereka memandangkan Sir Alex Ferguson adalah personaliti yang besar," kata pertahanan Belgium itu.

"Anda tidak boleh menukar orang sepertinya sambil memikirkan bahawa semuanya akan berterusan seperti sebelum ini. Anda sentiasa memerlukan tempoh peralihan.

"Manchester United masih berhadapan dengan pasca era Ferguson, jadi mereka mendapat belas kasihan saya. Tetapi, mereka perlukan masa untuk bangkit, kami perlu memanfaatkannya."

City akan menyambut Newcastle United di Stadium Etihad hari ini sementara United akan berkunjung ke Burnley esok dalam usaha mereka untuk mengelakkan kekalahan kali ketiga berturut-turut.