Pep Guardiola mahu pemain-pemain Manchester City melupakan seketika harapan untuk memenangi takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) buat sementara waktu selepas kehilangan mata berharga kepada pendahulu liga, Chelsea.

Georginio Wijnaldum meledak gol tunggal perlawanan untuk Liverpool mendahului perlawanan seawal minit kelapan ketika mencipta kemenangan tipis 1-0 di Anfield.

Skuad kendalian Jurgen Klopp kini ketinggalan hanya enam mata di belakang Chelsea manakala City berada di tangga ketiga.

City akan jatuh ke tangga kelima jika Arsenal menewaskan Crystal Palace dan Guardiola berkata pasukannya sudah bersedia untuk bangkit ketika berdepan Burnley dalam perlawanan akan datang.

"Ketika anda ketinggalan 10 mata, anda perlu kembali fokus kepada satu demi satu perlawanan," ujar Guardiola.

"Jangan bercakap mengenai sasaran dalam EPL dan cuba mempamerkan aksi yang mantap ketika berdepan Burnley."

City bergelut mencari rentak permainan selepas ketinggalan pada awal permainan, dengan City memperkemaskan lagi pergerakan, namun gagal membantu Sergio Aguero mencari gol penyamaan.

"Ia merupakan perlawanan yang seimbang, mereka memiliki peluang dan berjaya menyempurnakannya."