SOUTHAMPTON 0 MAN CITY 1

Mark Hughes menegaskan bahawa Manchester City perlu menambah gelaran dalam saingan di Eropah untuk mengekalkan dominasi dalam saingan domestik untuk bergelar dalam kalangan pasukan elit dunia.


City memecahkan rekod rekod dalam perjalanan menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini dengan menjaringkan 106 gol dan mengumpul 100 mata hasil kemenangan 1-0 di Stadium St Mary.

Tetapi cabaran Liga Juara-Juara (UCL) City dihentikan Liverpool dalam suku akhir dan Hughes berkata mereka masih lagi ketinggalan untuk dinilai sebagai pasukan elit dunia, termasuk musuh tradisi, Manchester United.

"Mereka masih lagi muda dalam saingan Eropah," katanya.

"Man City tidak dipandang dunia seperti mereka melihat kepada Real Madrid, Barcelona dan Man United, belum lagi.

"Mereka mampu melakar lebih banyak kejayaan tetapi ia akan memakan masa yang panjang."

Hughes mengendalikan City pada pertengahan 2008 hingga penghujung Disember 2009, dengan Roberto Mancini dipilih sebagai pengganti dan membantu pasukan itu menjuarai gelaran EPL buat kali pertama .

Sejak itu, mereka merupakan antara pencabar utama saingan liga tetapi Hughes menegaskan mereka perlu merangkul gelaran di laman sendiri dan di luar negara untuk digelar legenda.

"Ketika saya dilantik sebagai pengurus Man City, mereka hanya bersaing dalam kelompok tengah EPL. Lapan tahun lalu.

"Mereka telah merapatkan jurang yang besar dalam tempoh yang singkat dan untuk menjadi yang terbaik, mereka perlu terus konsisten.

"City memiliki potensi dan sumber untuk mendominasi saingan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang."

Gabriel Jesus menyempurnakan hantaran Kevin de Bruyne dalam masa kecederaan dalam perlawanan itu untuk memastikan City meraih 100 mata dalam saingan 38 perlawanan musim ini.