Wayne Rooney percaya Manchester City masih perlu melakar lebih banyak kemenangan sebelum dianggap sebagai salah sebuah pasukan terhebat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL).

Skuad kendalian Pep Guardiola itu meraih kemenangan 4-1 ke atas Tottenham, sekaligus merekodkan kemenangan ke-16 berturut-turut dalam saingan EPL.

Rooney menjaringkan gol ketika Everton seri 1-1 dengan City pada Ogos lalu -- satu-satunya perlawanan EPL yang menyaksikan City kehilangan mata.

Malah, bekas kapten England itu yakin skuad Guardiola akan kehilangan mata dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

"Saya tidak pasti mereka sudah capai tahap untuk bergelar kelab terbaik dalam EPL. Mereka perlu melakukan lebih banyak lagi," kata Rooney.

"Terdapat banyak kelab terbaik dalam saingan ini. City perlu menjulang gelaran dan perlu melakukannya dalam tempoh yang lebih panjang.

"Pasukan terbaik? Saya memilih pasukan Man United sejak tahun 2008!

"Saya tidak berasakan City tidak boleh ditewaskan. Mereka telah beraksi dengan baik tetapi EPL adalah satu saingan yang sukar, terutama sekali banyak perlawanan yang perlu dilalui.

"Saya menyedari mereka memiliki skuad yang besar, pemain-pemain yang berkualiti. Tetapi terdapat beberapa kelab yang mampu menggugat mereka.

"Terdapat lima atau enam pasukan yang mempunyai perancangan untuk mengatasi mereka sebelum musim 2017-18 berakhir," katanya.

Kevin De Bruyne, Leroy Sane, Raheem Sterling dan David Silva adalah pemain-pemain yang mendapat pujian di atas persembahan pada musim ini tetapi Rooney menyifatkan Fernandinho adalah nadi kejayaan mereka setakat ini.

"Fernandinho memberikan ruang serta peluang kepada pemain lain untuk bergerak bebas.

"Tanpa Fernandinho, Silva dan De Bruyne, mereka mungkin buntu mencari ruang," tambahnya.