Vincent Kompany percaya Manchester City telah pun mengambil langkah ke hadapan dalam musim baru selepas menewaskan Brighton and Hove Albion 2-0 dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris, lewat malam tadi.

City menyaksikan beberapa serangan mereka dipatahkan barisan pertahanan Brighton yang bertahan sehingga minit ke-70 apabila kesilapan Dale Stephens membuka ruang buat Sergio Aguero meledak gol pembukaan.

Gol sendiri Lewis Dunk mengesahkan kemenangan selesa City dalam aksi pembukaan yang turut menyaksikan Arsenal bolos tiga gol berdepan Leicester City, Liverpool terikat 3-3 dengan Watford dan Chelsea tewas 3-2 di tangan Burnley.

Kegagalan melakar kemenangan ke atas Leicester, Stoke dan Middlesbrough musim lalu menyekat harapan City merebut kejuaraan dan selepas sekali lagi dilabel pasukan pilihan, Kompany percaya skuad kendalian Pep Guardiola kelihatan lebih menggerunkan kali ini.

"Kami terpaksa bersabar dalam babak pertama, mereka bertahan dengan cukup baik. Permainan mereka tersusun dan jelas mereka memiliki perancangan yang kemas. Tetapi kami memiliki pemain berkualiti dan akhirnya melakukan perubahan.

"Kami memiliki penyerang yang bagus, apatah lagi berdepan Sergio Aguero ketika sesi latihan.

"Tetapi musim baru ini masih panjang, jadi kemenangan hari ini adalah hasil dariapda apa yang kami lakukan daripada musim lalu.

"Ada satu tempoh kami ditekan untuk jangka masa lima minit. Tetapi selepas bersabar dan membuat bentesan penting, kami berjaya menghasilkan gol."

Guardiola menerapkan formasi 3-5-2 dengan Augero dan Gabrile Jesus berpasangan di jentera serangan sementara Kyle Walker dan Danilo menghulurkan bantuan di bahagian sayap.

Bekas bek kanan Tottenham Hotspur itu turut dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan kerana sering menggugat barisan pertahanan lawan.

"Kami dapat menjangkakan corak permainan mereka, cuba bertahan," katanya.

"Keputusan seri akan menjadi permulaan yang baik tetapi kami perlukan kemenangan. Sudah tentu kami gembira dapat memulakan aksi dengan tiga mata."