Jose Mourinho menganggap Manchester City menarik diri daripada cuba menandatangani Alexis Sanchez kerana mereka berpendapat pemain itu sudah bertekad untuk menyertai Manchester United.

City menjadikan Sanchez sebagai sasaran utama dalam jendela perpindahan Ogos lalu dengan kesanggupan membayar £60 juta (RM329.8j), namun kegagalan Arsenal memancing pemain AS Monaco, Thomas Lemar, menangguhkan urusan itu.

Walaupun City dianggap sebagai pilihan untuk mendapatkan Sanchez bulan ini sebelum mereka menarik diri kerana kebimbangan terhadap tuntutan gajinya berikutan pemain Chile itu yang memasuki enam bulan terakhir kontraknya di Arsenal sebelum menjadi bebas ejen pada akhir musim nanti.

United kemudian merampas Sanchez yang menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menuju ke Stadium Emirates secara percuma manakala kelab yang berpangkalan di Old Trafford itu memenuhi tuntutan gaji bekas pemain Barcelona itu sehingga £350,000 (RM1.9j) seminggu untuk kontrak selama empat setengah tahun itu.

Bagaimanapun, Mourinho -- yang memperbaharui kontrak di United sehingga 2020 semalam -- tidak percaya desakan kewangan merupakan faktor utama mereka terlepas Sanchez.

"Alexis mengingatkan saya tentang satu metafora, 'apabila anda melihat pokok yang berbuah oren di bahagian pucuk tetapi anda tidak boleh sampai ke sana," kata Mourinho kepada wartawan.

"Anda berkata, 'Oh, saya memetik buah yang lebih rendah kerana saya tidak suka buah di atas'.

"Sebenarnya anda suka buah yang di atas, ia sangat bagus, warnanya menyerlah, begitu bulat, penuh dengan jus, namun anda tidak dapat mencapainya.

"Jadi anda berkata, 'saya tidak mahu pergi ke sana' atau 'saya tidak suka, saya lebih suka yang lain'. Ia mengingatkan saya tentang cerita itu," katanya.

United mampu menawarkan Sanchez pakej kewangan lumayan dengan mengelakkan sebarang bayaran perpindahan terhadap pemain yang telah mencetak 60 gol liga buat Arsenal itu, malah Mourinho mengulangi kenyataan bahawa dia tidak menganggap wang adalah punca utama keputusan Sanchez.

"Saya tahu jika kelab lain tidak mendapatkannya, ia bukanlah kerana kewangan, itu sudah pasti," tambah Mourinho. "Ia bukan masalah wang.

"Berdasarkan angka, Manchester City menghabiskan lebih banyak wang daripada kami, Chelsea menghabiskan lebih banyak wang daripada kami, saya rasa Everton menghabiskan lebih banyak wang daripada kami.

"Berapa nilai Sanchez dalam perpindahan biasa sebagai pemain yang mempunyai baki kontrak dua atau tiga tahun lagi? Ketika ini, ia bernilai kira-kira £100 juta hingga £150 juta.

"Anda menyertai kelab yang menawarkan tangga gaji yang lebih tinggi. Namun, daripada segi perspektif, Alexis boleh menyertai mana-mana kelab, dia mempunyai banyak pilihan dan memutuskan untuk datang ke sini, anda perlu bertanyakannya.

"Dia bersemangat tinggi dalam bola sepak dan dalam masa sama mahu mendapatkan wang. Kita semua begitu. Saya tahu dia mahu beraksi di kelab yang berbeza dan jelas sekali dia mahu dibayar berdasarkan kualitinya."