MANCHESTER CITY 2 ARSENAL 1

Yaya Toure percaya Manchester City telah mempamerkan keinginan untuk kembali ke takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika bangkit menewaskan Arsenal 2-1, awal pagi tadi.


City ketinggalan selepas Theo Walcott membuka jaringan seawal minit kelima di Stadium Etihad tetapi mereka bangkit menerusi jaringan daripada Leroy Sane dan Raheem Sterling.

Skuad kendalian Pep Guardiola ketinggalan tujuh mata daripada pendahulu liga, Chelsea, baru-baru ini tetapi Toure menegaskan City telah mempamerkan kualiti untuk kembali bersaing merebut semula gelaran yang telah dimenanginya pada musim 2013-14.

"Kami bermain dengan penuh semangat," kata Toure kepada Sky Sports.

"Kami perlukan fokus seperti ini untuk kembali mencabar takhta liga.

"Mereka memiliki beberapa peluang dalam separuh masa pertama tetapi kami bertahan dengan baik."

Toure memberikan pujian kepada rakan sepasukan, Sterling, kerana pemain sayap England itu memainkan peranan yang penting untuk mengubah gaya permainan The Citizens dalam separuh masa kedua.

"Saya berpendapat kami lebih dahagakan gol dalam separuh masa kedua, Kelechi Iheanacho dan Raheem telah mempamerkan aksi terbaik dan berjaya membantu pasukan."