Jose Mourinho menegaskan selepas menewaskan Everton, dia langsung tidak memikirkan Manchester City kerana lebih mengharapkan pasukan pencabar lain tercicir mata.

United melakar kemenangan 4-0 ke atas Everton di Old Trafford, malam tadi, dengan Antonio Valencia, Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku dan Anthony Martial menjadi penyumbang gol -- tiga gol terakhir itu terhasil dalam tempoh tujuh minit terakhir.

Keputusan itu bermakna United berkongsi 13 mata bersama pendahulu, Manchester City, selepas lima perlawanan, namun itu bukan fokus utama Mourinho.

Sebaliknya, pengendali kelahiran Portugal itu lebih fokus untuk mengutip tiga mata selepas Liverpool, Chelsea dan Arsenal keciciran mata.

"Saya langsung tidak memikirkan tentang Manchester City," Mourinho memberitahu media.

"Fokus saya adalah Tottenham, Arsenal, Chelsea dan Liverpool, sama ada mereka menang atau kalah.

"Ini adalah peluang kami untuk mendapatkan lebihan dua mata selepas kami sekadar seri berdepan Stoke City, minggu lalu.

"Jadi, saya hanya memikirkan tentang pasukan-pasukan ini dan bukannya Manchester City. City memenangi perlawanan mereka dengan baik.

"Selepas menyaksikan keputusan perlawanan lain, saya sedar kami tidak boleh mensia-siakan peluang ini."