TOTTENHAM HOTSPUR 1 MANCHESTER CITY 3

Skuad kendalian Pep Guardiola kini hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas mengatasi Tottenham Hotspur 3-1 di Stadium Wembley, awal pagi tadi.


Selepas mengharungi tiga perlawanan dengan kekalahan dalam semua kejohanan, City kian terdesak untuk mengembalikan moral seluruh pasukan dan tampil garang seawal minit ketiga menerusi sepakan voli Leroy Sane yang terkena tiang gol tatkala Hugo Lloris hanya terpaku.

Jaringan yang dicari-cari pelawat akhirnya hadir menerusi penyerang Brazil, Gabriel Jesus, yang menyambut hantaran jauh Vincent Kompany sebelum mudah menewaskan Lloris.

Kesilapan penjaga gol Perancis itu menjatuhkan Raheem Sterling di dalam kotak penalti membuatkan pengadil perlawanan, Jon Moss, tidak teragak-agak untuk meniup wisel dan menunjukkan ke arah tanda penalti.

Ilkay Gundogan tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang itu menerusi tendangan yang menuju ke penjuru kanan gol.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu merapatkan jurang ketika aksi babak pertama berbaki tiga minit untuk ditamatkan apabila bola lorongan Harry Kane disempurnakan dengan bijak oleh pemain tengah, Christian Eriksen, dan menuju waktu rehat dengan kedudukan 2-1.

Bersambung separuh masa kedua, Spurs dinafikan peluang untuk menerima sepakan penalti walaupun Kompany tampak memijak kaki Dele Alli pada minit ke-51.

Sebaliknya, City yang menambah jaringan pada minit ke-72 selepas Sterling memanfaatkan bola muntah hasil percubaan awal Gabriel Jesus untuk memberikan kedudukan selesa 3-1 buat The Citizens.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan, menyaksikan City hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kejuaraan liga musim 2017/18, selepas mengutip 87 mata, 16 mata mengatasi pasukan tangga kedua, Manchester United.