Chelsea mengumumkan bahawa pertahanan, Andreas Christensen, telah menandatangani kontrak baru selama empat setengah tahun, yang menyaksikannya bakal kekal sehingga penghujung musim 2021/22.

Tawaran kontrak baru itu dilihat sebagai ganjaran selepas pertahanan dari Denmark itu menampilkan persembahan hebat di bawah kendalian Antonio Conte musim ini.

"Saya berasa gembira dapat menandatangani kontrak baru dan tidak sabar untuk berkhidmat buat Chelsea pada masa akan datang. Saya telah beraksi dalam banyak perlawanan dan menikmatinya. Segala-galanya berjalan lancar," kata Christensen.

Dia menyertai Chelsea pada tahun 2012 sebelum dipinjamkan selama dua musim ke Borussia Monchengladbach dari tahun 2015 sehingga 2017, namun melakukan 22 penampilan buat The Blues dalam semua kejohanan musim ini.

"Kontrak ini adalah ganjaran susulan aksi cemerlang yang dipersembahkan Christensen dalam separuh musim ini.

"Selepas dua musim dipinjamkan ke Jerman, kini kami yakin bahawa dia telah bersedia untuk menjadi sebahagian daripada pasukan pada musim ini.

"Kami juga gembira dia memilih untuk berkhidmat bersama Chelsea di masa akan datang," ujar pengarah Chelsea, Marina Granovskaia.