Pemain Borussia Monchengladbach yang dipinjam dari Chelsea, Andreas Christensen, percaya Bundesliga menghadirkan saingan yang lebih menarik daripada Liga Perdana.

Pemain antarabangsa Denmark itu adalah dalam tahun kedua bersama Gladbach dan menyukai saingan tahap tertinggi Jerman itu berlandaskan kepada permainan terbukanya.

“Saya baru bermain satu perlawanan dalam Liga Perdana setakat ini tapi saya berlatih secara harian bersama rakan-rakan sepasukan Chelsea.

“Ia masih satu perbandingan yang berbeza untuk dilakukan,” kata pemain pertahanan itu kepada laman sesawang rasmi Bundesliga.

"Barangkali Liga Perdana adalah lebih tersusun sedikit secara bertahan. Adalah sukar untuk mencipta peluang dalam Liga Perdana.

"Bundesliga adalah liga yang lebih menarik. Hampir setiap perlawanan dimainkan dengan pantas, turun dan naik, ke hadapan dan ke belakang, menyerang dan menyerang balas.

"Dan satu perkara lagi yang berbeza ialah budaya latihannya, yang lebih keras dalam Bundesliga daripada dalam Liga Perdana. Ia benar-benar kerja keras di sini.”
Christensen, 20, adalah antara tenaga penting di Monchengladbach dalam kempen musim ini, dengan melakukan 10 penampilan dalam semua pertandingan.