Javier Hernandez telah menyempurnakan perpindahannya dari Bayer Leverkusen ke West Ham dengan nilai perpindahan sebanyak GBP16 juta (RM89 juta).

Pemain berusia 29 tahun itu menyertai The Hammers dengan kontrak selama tiga tahun selepas menyempurnakan ujian kesihatan dan bersetuju dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Penyerang kebangsaan Mexico itu, yang telah menjaringkan 39 gol dalam dua musim bersama Leverkusen, merupakan pemain keempat yang dibawa masuk oleh West Ham menjelang pembukaan musim 2017-18.

"Buat saya, Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah liga yang terbaik di dunia dan apabila peluang itu hadir, saya mahu kembali beraksi di England," kata Hernandez.

"Ia bukan satu keputusan yang sukar. West Ham memiliki sejarah tersendiri dan memiliki azam yang tinggi. Mereka telah membawa masuk ramai pemain untuk menghadapi musim akan datang.

"Saya menikmati saat yang manis beraksi di Sepanyol dan Jerman dalam tempoh tiga tahun tetapi England merupakan tempat bermulanya karier saya dan sangat gembira untuk kembali ke sini."

Pablo Zabaleta, Joe Hart dan Marko Arnautovic telah menyertai skuad bimbingan Slaven Bilic sejak jendela perpindahan dibuka.

Hernandez berpindah ke Leverkusen dari Manchester United pada 2015 selepas dipinjamkan ke Real Madrid pada tahun sebelumnya.

Dia telah memenangi gelaran EPL sebanyak dua kali bersama United dan mara ke final Liga Juara-Juara (UCL), namun tewas kepada Barcelona 3-1.