Bekas penyerang Manchester United, Javier Hernandez atau Chicharito, bakal meninggalkan Bayer Leverkusen untuk menyertai West Ham United selepas disahkan oleh kedua-dua kelab terbabit.

West Ham kini hanya menunggu proses ujian kesihatan Chicharito sebelum memuktamadkan perpindahan tersebut.

Penyerang Mexico berusia 29 tahun itu berpindah ke Leverkusen dari Old Trafford pada Ogos 2015 oleh pengurus ketika itu, Louis Van Gaal.

Dia menjaringkan 39 gol dalam 76 aksi Bundesliga dan dilihat bakal memperkuatkan barisan serangan Slaven Bilic yang turut mendapatkan Joe Hart menerusi pinjaman serta Pablo Zabaleta melalui perpindahan percuma.

“West Ham dan Bayer Leverkusen telah mencapai persetujuan berkenaan perpindahan Javier Hernandez ke Stadium London.

“Bekas penyerang Manchester United dan Real Madrid itu bakal terbang ke London beberapa hari lagi untuk memuktamadkan semua syarat dan menjalani ujian kesihatan bersama Hammers,” kata kenyataan daripada laman web rasmi West Ham.

Perpindahan itu dikatakan bernilai GBP13 juta (RM72 juta) dan West Ham turut cuba mendapatkan pemain Stoke City, Marko Arnautovic, selepas kedua-dua kelab dilaporkan bersetuju dengan yuran perpindahan GBP24 juta (RM133 juta).