Kami tewas dalam tempoh 10 minit, kata pemain tengah Hull City, Ryan Mason yang kecewa melihat pasukannya gagal mengutip sebarang mata berdepan Chelsea meskipun perlawanan seimbang ketika babak pertama.

Skuad kendalian Mike Phelan mempamerkan aksi mantap dalam tempoh 45 minit perlawanan dengan membuat beberapa percubaan tepat yang hampir menewaskan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois.

Bagaimanapun, memasuki babak kedua, anak buah Antonio Conte mula mempamer taring sebenar menerusi jaringan Willian dan Diego Costa.

"Memang jelas Chelsea sebuah pasukan yang kuat dengan barisan pemain yang mantap, kami tahu perlawanan ini bukan mudah," kata Mason kepada BBC Sport.

"Dalam separuh masa kedua, kami menempuh tempoh 10 minit yang mengecewakan dan senario itu membawa padah apabila kami mula hilang fokus. Ketinggalan 2-0 berdepan pasukan seperti Chelsea, bukan mudah untuk cuba bangkit semula.

"Pada awalnya, kami berasakan seperti mengawal permainan, terutamanya ketika babak pertama, namun kesilapan remeh membawa perbezaan besar."

Selepas melakar dua kemenangan berturut-turut pada awal musim, Hull kini sekadar mengutip satu mata daripada lima perlawanan.

"Kami perlu segera bangkit dalam perlawanan seterusnya dan cuba mengutip mata," tambah Mason, yang menjadi pemain termahal di kelab itu selepas berhijrah dari Tottenham Hotspur.

"Kami perlu kekal positif dan jika kami bermain sepertimana kami lakukan pada babak pertama, kami mampu kutip tiga mata berdepan lawan lain."