Pengendali Chelsea, Antonio Conte, mahu anak buahnya menerima kekalahan 2-0 kepada Tottenham Hotspur yang turut menyaksikan harapan melakar rekod 14 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris lebur.

Dua gol menerusi tandukan Delle Alli hasil hantaran Christian Eriksen pada babak pertama dan kedua mengesahkan kemenangan 2-0 Spurs di White Hart Lane.

Conte menyifatkan gol kedua Alli hadir selepas Diego Costa dan Eden Hazard berpeluang meledak gol penyamaan.

"Kami tahu perkara ini akan berlaku sebelum pertemuan ini lagi," Conte memberitahu Sky Sports. "Saya dapat melihat perlawanan yang cukup seimbang. Mereka meledak gol di hujung babak pertama dan gol kedua hadir ketika kami sedang cuba bangkit.

"Kami kecewa kerana gagal melakar kemenangan ke-14 berturut-turut tetapi Tottenham merupakan pasukan yang bagus, dan saya rasa mereka mampu mencabar kejuaraan musim ini.

"Mereka menjadi pencabar musim lalu, jadi saya pasti mereka juga mampu melakukannya musim ini."

Ditanya sama ada barisan pertahanan perlu dipersalahkan susulan gagal mengekang pergerakan Alli, Conte menambah:" Saya belum melihat ulang tayang tetapi yang pasti, saya nampak satu tandukan yang baik hasil hantaran yang mantap.

"Kami berada di persada liga hasil kerja keras dan pemain menampakkan kemajuan berbanding musim lalu.

"Tetapi kini kami perlu bangkit, tewas selepas 13 kemenangan berturut-turut sememangnya sukar untuk ditelan tetapi inilah bola sepak. Jadi, penting untuk kami menerima kekalahan ini."

Saksikan sorotan perlawanan Tottenham lwn Chelsea