Olivier Giroud percaya pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL) sedang mengkaji taktik Chelsea dan menyeru kepada keperluan pasukannya untuk menjadi serba boleh.

Permulaan sempurna The Blues musim ini tersekat hujung minggu lalu selepas dipaksa seri tanpa jaringan dengan West Ham.

Giroud dikecewakan dalam rangkaian serangan yang turut diperkuatkan oleh Eden Hazard dan Willian apabila pertahanan The Hammers membatasi peluang mereka.

Pemenang Piala Dunia Russia itu berasakan peluang mereka akan lebih cerah sekiranya lebih banyak hantaran lintang dibuat -- sesuatu yang dia ingin perbetulkan dalam perlawanan berturut-turut menentang Liverpool minggu ini.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam Piala Liga Inggeris (EFL) sebelum beralih ke aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, Sabtu ini.

"Kadang-kala kami terburu-buru dalam permainan kami dan tidak bersabar, atau mungkin corak permainan kami tidak cukup pantas," kata Giroud.

"Pihak lawan mula mengkaji selok-belok permainan Chelsea dengan baik, jadi kami perlu membawa satu kelainan. Mungkin kami perlu bekerja lebih keras lagi di atas padang.

"Kami terlalu kerap cuba menggerakkan bola dari bahagian tengah dan menentang pertahanan yang ampuh seperti itu dengan meletakkan ramai pemain di bahagian pertahanan. Sangat sukar untuk kami bergerak, terutama pada jarak 30 ela terakhir.

"Mungkin kami sepatutnya pergi lebih jauh ke bahagian sayap dan memasukkan lebih banyak hantaran lintang ke dalam kotak penalti.

"Ia agak mengecewakan, kami sedar akan perkara itu dan kami akan melakukannya, kami mahu bangkit secepat mungkin," ujarnya lagi.