Antonio Conte mendedahkan bahawa Chelsea telah melepaskan "pemain yang lengkap" daripada genggaman selepas menyaksikan Kevin De Bruyne memberikan inspirasi kepada Manchester City untuk meraih kemenangan ke atas juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

De Bruyne dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas menjaringkan gol pada minit ke-67 yang memberikan keputusan 1-0 memihak kepada City di Stamford Bridge kelmarin.

Skuad bimbingan Pep Guardiola kini memacu liga dengan kelebihan enam mata ke atas Chelsea, yang telah dimusnahkan oleh pemain yang sekadar beraksi dalam tiga perlawanan bersama mereka sebelum berhijrah ke Wolfsburg dalam saingan Bundesliga ketika Jose Mourinho kembali buat kali kedua sebagai pengurus.

"Saya tidak mengetahui apa-apa yang berlaku sebelum ini," kata Conte.

"Tetapi sudah pasti kita berbincang mengenai seorang pemain yang mantap, pemain yang sempurna," tambahnya.

De Bruyne turut menjaringkan gol yang sama ketika City melakar kemenangan 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Shakhtar Donetsk.

Guardiola menyifatkan kerajinan dan dedikasi yang dimiliki oleh De Bruyne merupakan antara faktor kejayaan City melakar kemenangan ke atas Chelsea.

"Dia mampu melakukan segala-galanya," kata Guardiola.

"Ketika mengawal bola, dia seorang pemain yang mampu beraksi dalam banyak posisi, melakukan hantaran dekat atau jauh.

"Jika tidak mengawal bola, De Bruyne merupakan antara pemain yang sangat rajin di atas padang, sukar untuk mendapatkan pemain sepertinya.

"Itu sebab dia merupakan antara salah seorang daripada kapten pasukan ini," katanya lagi.