Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, Chelsea, akhirnya memuktamadkan pembelian pertama musim panas dalam usaha mengekalkan kejuaraan yang dimenangi selepas menandatangani pertahanan Jerman, Antonio Rudiger, semalam.

Rudiger ditawarkan kontrak selama lima tahun dalam transaksi perpindahan bernilai EUR35 juta (RM171 juta) dan ia bakal bertambah sebanyak EUR4 juta (RM19.6 juta) termasuk bonus.

Selepas melepaskan John Terry yang bersara serta Nathan Ake yang berpindah ke Bournemouth dengan nilai GBP20 juta (RM110 juta), Chelsea terlebih dahulu mendapatkan khidmat bekas penjaga gol Manchester City, Willy Caballero, untuk bertindak sebagai pengganti kepada Thibaut Courtois, namun perpindahan tersebut adalah percuma.

Setelah beberapa bulan dikaitkan dengan juara England, akhirnya Rudiger memilih meninggalkan AS Roma untuk menyertai The Blues dan dia amat gembira.

“Satu perasaan yang hebat kerana tidak semua pemain berpeluang untuk menyertai kelab yang besar sebegini,” kata Rudiger.

“Saya tidak sabar untuk berjumpa dengan rakan-rakan baru dan amat berbangga kerana kini saya adalah pemain Chelsea,” tambahnya.

Penambahan Rudiger ke dalam skuad didikan Antonio Conte mengubat sedikit kekecewaan selepas pengendali itu terlepas peluang untuk mendapatkan penyerang, Romelu Lukaku, yang memilih untuk menyarung jersi Manchester United, beberapa hari lalu.

Rudiger tampil 17 kali buat skuad kebangsaan Jerman serta melakukan 56 penampilan sepanjang dua musim bersama Giallorossi, termasuk membantu melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menamatkan musim 2016/17 di tangga kedua liga.