Chelsea menagih khidmat Jorginho lebih daripada Manchester City menginginkannya, kata Maurizio Sarri selepas kelabnya memenangi perebutan mendapatkan tandatangan pemain itu.

Pemain tengah Itali itu akan dipertaruhkan untuk menghadapi juara Liga Perdana Inggeris (EPL), City, dalam aksi merebut Perisai Komuniti malam ini setelah mengetepikan minat daripada Pep Guardiola untuk menyertai bekas pengurus Napoli, Sarri, dengan nilai £57 juta (RM302.5j).

Kehadirannya akan memberikan saingan kepada Fernandinho untuk merebut posisi tengah City, namun Sarri berasakan kualiti keseluruhan skuad yang Guardiola miliki bermakna Chelsea lebih memerlukannya.

"Kami memerlukan Jorginho lebih daripada City, jadi ia tindakan yang tepat untuk Jorginho ke sini," katanya kepada wartawan menjelang pertemuan di Wembley itu.

"Pep mempunyai barisan tengah yang bagus. Fernandinho adalah pemain yang hebat.

"Jorginho merupakan langkah untuk kami cuba mengurangkan jurang tersebut, dia adalah yang pertama untuk tugasan itu," tambahnya.

Kedua-dua pasukan dipisahkan dengan 30 mata musim lalu yang menyaksikan Chelsea menamatkan saingan liga di tangga kelima.

Di dalam minda Sarri, cara terbaik untuk merapatkan jurang adalah dengan menggunakan pendekatan menyerang bercita-cita tinggi yang telah menambat hati ramai peminat di Napoli.

"Saya ingin mempertahankan (pendekatan tersebut) kalau boleh -- kadang-kadang tidak mungkin berlaku," kata pengurus berusia 59 tahun itu yang mula menampakkan pengaruh pendekatannya ketika Chelsea mengharungi pra-musim.

"Saya ingin para pemain mempunyai personaliti pemikiran bahawa mereka adalah setaraf.

"Mungkin pada masa ini ia tidak benar tetapi mereka perlu berfikir bahawa mereka boleh menghadapi sesiapa sahaja di setiap stadium, terhadap setiap pasukan."

Bagaimanapun, Sarri sedar akan cabaran untuk menghadapi skuad kendalian Guardiola itu sekiranya mereka menemui rentak.

Napoli menyerlah dalam Serie A musim lalu biarpun dibayangi kekalahan 1-2 kepada City di Stadium Etihad sebelum tersungkur 2-4 di Stadio San Paolo dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).

"Selain daripada pandangan taktikal, saya fikir amat sukar bagi semua pasukan untuk menghadapi City," kata Sarri. "Bukan hanya kerana seorang pemain.

"Saya menentang City pada November musim lalu ketika mereka di kemuncak prestasi dan ia sangat sukar.

"20 minit pertama adalah mimpi ngeri, itu dahsyat."