Chelsea telah membayar yuran perpindahan rekod dunia berjumlah GBP71.6 juta (RM375 juta) untuk mendapatkan khidmat Kepa Arrizabalaga daripada Athletic Bilbao selaku pengganti buat Thibau Courtois yang menyertai Real Madrid.

Pemain dari Sepanyol itu diumumkan sebagai pemain Chelsea melalui kontrak selama tujuh tahun di Stamford Bridge, beberapa jam selepas kelab mengesahkan penjualan Courtois kepada Madrid yang hanya menunggu ujian kesihatan.

Arrizabalaga, 23, hampir menyertai Madrid, Januari lalu, sebelum hatinya berubah pada saat-saat akhir untuk meneruskan kempen bersama Bilbao.

Dia kini menuju ke Liga Perdana Inggeris dengan status penjaga gol termahal dalam sejarah, memadamkan rekod GBP65 juta (RM341 juta) yang dibayar Liverpool untuk mendapatkan Alisson daripada AS Roma bulan lalu.

Chelsea terpaksa mengaktifkan nilai tinggi klausa perpindahan Arrizabalaga untuk memastikan mereka menemui pengganti buat Courtois memandangkan jendela perpindahan akan tamat lewat malam ini.

Meraih satu penampilan bersama Sepanyol, pemain skuad Piala Dunia itu mengakui dia tidak dapat menolak peluang untuk berhijrah ke London selepas melakukan 53 penampilan dalam LaLiga.

"Ia sangat penting untuk saya, karier dan juga kehidupan peribadi," kata Arrizabalaga.

"Banyak perkara yang membuatkan saya tertarik dengan kelab England, kejuaraan yang mereka telah peroleh, pemain-pemain, bandar dan Liga Perdana Inggeris itu sendiri.

"Saya gembira Chelsea mempercayai saya dan bersedia menerima kehadiran saya," katanya.

Arrizabalaga kini dijangka akan terus membarisi kesebelasan utama The Blues menjelang aksi pertama liga menentang Huddersfield Town di laman lawan, Sabtu ini.

Dia akan diikuti untuk menyertai pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu oleh Mateo Kovacic yang akan ke London menerusi pinjaman sebagai sebahagian daripada perjanjian untuk membawa Courtois ke Santiago Bernabeu selama enam tahun.