Bekas pengendali Chelsea, Carlo Ancelotti, mendakwa skuad yang kini dikendalikan Antonio Conte itu tidak berupaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, namun percaya rakan senegaranya itu akan melakar kejayaan di England.

Conte telah dipertanggungjawabkan untuk meraih satu piala musim ini setelah melalui musim 2015-16 yang hambar, yang turut menyaksikan pengendali, Jose Mourinho, dipecat.

Ancelotti bukanlah indiviu asing tatkala turut merasai tekanan ketika mengendalikan Chelsea.

Jurulatih berusia 57 tahun itu membawa Chelsea menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Piala FA pada tahun 2010 sebelum dipecat setahun selepas itu.

Bagaimanapun, pengendali Bayern Munich itu mahu Chelsea meletakkan sasaran realistik musim ini.

"Saya rasa ia bergantung kepada sasaran yang telah ditetapkan Chelsea," Ancelotti memberitahu Daily Mail apabila ditanya sama ada Conte akan melakar kejayaan bersama Chelsea.

"Jika sasaran mereka adalah untuk menjuarai liga musim ini, saya rasa ia agak sukar.

"Tetapi jika sasaran mereka adalah membentuk kumpulan baru, dan membina idealogi baru, saya rasa Conte akan mencipta karier cemerlang bersama mereka."

"Setiap pengendali memerlukan masa...Tetapi saya tidak rasa kami tidak diberikan banyak masa," tambahnya.

"Conte merupakan kapten saya ketika saya mengendalikan Juventus. Dia seorang pemain yang cukup profesional.

"Saya tidak mengenalinya dengan rapat ketika dia menceburi bidang pengurusan tetapi saya kenal karektor dan personalitinya. Saya yakin dia akan melaksanakan tugas yang cemerlang bersama Chelsea."