Presiden Atletico Madrid, Enrique Cerezo, memberi bayangan bahawa penyerang bintang mereka, Antoine Griezmann, akan kekal bersama kelab LaLiga itu pada musim depan.

Griezmann, 26, kerap dikaitkan dengan perpindahan dan Manchester United dilaporkan menjadi destinasinya.

Tetapi Cerezo memberi satu petunjuk yang meyakinkan di mana pemain antarabangsa Perancis itu akan kekal di Atletico, yang berpindah ke stadium baru mereka -- Wanda Metropolitano -- musim depan.

"Dia akan berada di Wanda Metropolitano," katanya kepada Telecinco ketika ditanya sama ada Griezmann akan kekal di Atletico.

Griezmann menikmati satu lagi kempen baik di Atletico, menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan.

Awal minggu ini, Griezmann menolak dakwaan mengatakan dia telah membuat perjanjian dengan United, manakala Jose Mourinho berkata sebarang perpindahan pemain adalah di bawah tanggungjawab Naib Pengerusi Eksekutif kelab Liga Perdana Inggeris itu, Ed Woodward.