Celtic telah menandatangani Charly Musonda dalam perjanjian pinjaman 18 bulan daripada juara Liga Perdana Inggeris, Chelsea.

Pemain tengah menyerang berusia 21 tahun itu kurang bermain untuk skuad utama Antonio Conte musim ini, dengan hanya membuat tujuh penampilan dalam semua pertandingan.

Bos Celtic, Brendan Rodgers, cuba mendapatkan khidmat Musonda sebelum permulaan musim ini dan berasakan pendahulu Liga Perdana Scotland itu kini berjaya dalam jendela perpindahan apabila mereka menghadapi Zenit dalam pusingan 32 Liga Europa, bulan depan.

"Terdapat kira-kira 24 kelab yang berminat mengambil Charly (Musonda). Dia mahu datang ke sini. Chelsea membenarkannya datang ke Celtic adalah satu kejayaan untuk kami," kata Rodgers.

"Ini adalah prospek yang sangat menarik untuk kelab. Charly adalah bakat besar yang saya kenal selama beberapa tahun ini, dan kami berterima kasih kepada Chelsea memandangkan dia benar-benar menyinar dalam akademi mereka.

"Ia juga peluang yang baik untuk Charly masuk ke salah sebuah kelab hebat dan meraih peluang bagi menunjukkan bakatnya. Dia pemain yang sangat menarik, sangat dinamik, mempunyai keupayaan mengagumkan dan bekerja keras."

Rodgers berkata dia sedia terus menurunkan Musonda untuk menentang Hearts, Rabu ini, dan pemain baru itu sedia untuk berpindah ke Celtic Park.

"Ia mudah untuk saya -- Celtic adalah kelab besar," kata Musonda kepada Celtic TV. "Ia adalah sebuah kelab yang mempunyai ramai peminat serta semangat yang luar biasa.

"Saya benar-benar menantinya. Saya hampir datang pada musim panas lalu tetapi ia tidak berlaku.

"Saya bercakap lagi dengan pengurus beberapa minggu lalu dan saya rasa bahawa ini adalah tempat saya mahu datang dan bermain. Saya sangat bertuah dan gembira berada di sini."