Celtic mahu lebih daripada GBP20 juta buat Dembele

By Amirul Azreen 7 January 2017
Celtic mahu lebih daripada GBP20 juta buat Dembele

Penolong pengurus Celtic, Chris Davies, menegaskan mereka tidak bercadang untuk menjual Moussa Dembele dengan harga GBP20 juta (RM109 juta) susulan timbul laporan pemain itu menjadi sasaran West Ham United.

Pemain berusia 20 tahun itu sudah pun menjadi tonggak utama Celtic selepas menyertainya secara percuma dari Fulham sehingga menarik minat kelab di Eropah.

Sebelum ini, West Ham dilaporkan bersedia menawarkan GBP20 juta (RM109 juta) bagi memancing pemain itu ke London, namun Davies menegaskan bahawa pemain itu tidak akan dijual dengan harga demikian.

"GBP20 juta adalah terlalu rendah daripada nilai yang kami anggarkan," jelas penolong pengurus itu ketika sesi sidang media.

"Saya rasa pengendali, Brendan Rodgers, telah menjelaskan perkara ini sebelum ini. Ketika ini, kami juga tidak dihubungi oleh mana-mana pasukan, jadi jelas berita ini adalah spekulasi semata-mata.

"Kami melihat di sini adalah tempat terbaik buat Moussa. Dia baru sahaja berusia 20 tahun, jadi masih banyak yang mampu diperbaiki pemain itu.

"Apabila kamu sebagai seorang penyerang sedang beraksi dengan baik, sudah tentu akan timbul desas-desus perpindahan, apatah lagi ketika jendela perpindahan sudah dibuka.

"Perkara itu di luar kawalan kami tetapi apa yang kami mampu lakukan adalah membantu pemain itu untuk terus mempamerkan kemajuan."

About Author

Amirul Azreen

Comment