Jurulatih Celta Vigo, Eduardo Berizzo, berikrar untuk mengasak Manchester United di Old Trafford selepas tewas dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Europa, awla pagi tadi.

Sepakan percuma Marcus Rashford pada babak kedua menyaksikan United mencatat kemenangan 1-0 untuk memberikan mereka kelebihan.

Berizzo kekal percaya terhadap kemampuan pasukannya untuk mendapatkan hasil dalam perlawanan kedua, setelah mereka menjaringkan sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan Liga Europa musim ini.

"Kami akan perlu pergi dan menjaringkan gol seperti yang kami lakukan sebelum ini," katanya kepada beIN Sport.

"Ia adalah satu permainan fizikal di udara, dengan banyak perebutan untuk mengutip bola kedua. Dalam separuh pertama, kami kurang bernasib baik dan yang kedua, kami adalah pasukan yang lebih baik."

Celta merakamkan kemenangan di Panathinaikos, Shakhtar Donetsk dan Krasnodar dalam laluan mereka ke separuh akhir ini.

Untuk itu, Berizzo percaya pasukannya masih mampu mara ke final dengan berkata: "Ini akan memaksa kami untuk menyerang dalam perlawanan kedua. Kami bersedia.

"Kami yakin dengan hakikat serangan kami mencipta peluang. Saya kekal menganggap kami telah bersaing hebat.

"Kami akan ke England untuk menampilkan permainan yang hebat dan mendapat hasil yang besar. Kami masih memiliki peluang, ia belum berakhir.

"Apa yang berlaku dalam perlawanan pertama menunjukkan kepada kami bagaimana untuk bangkit."