ARSENAL 1 CHELSEA 1
(Arsenal menang penentuan penalti 6-5)

Petr Cech muncul wira Arsenal ketika menentang bekas kelabnya, Chelsea, yang menyaksikan skuad kendalian Unai Emery itu menang 6-5 dalam penentuan penalti setelah seri 1-1 dalam Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di Dublin, awal pagi tadi.


Callum Hudson-Odoi menampilkan satu lagi prestasi memberangsangkan, dengan penyerang remaja itu menyinar tatkala pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu gagal menyudahkan deretan peluang ketika mendominasi babak pertama susulan ketumpulan Alvaro Morata, namun penjaga gol veteran, Cech, menjadi watak penentu perlawanan.

Aaron Ramsey, yang dijangka membarisi kesebelasan utama menentang The Blues di sebalik dikaitkan dengan perpindahan bernilai £30 juta (RM160.1j) ke Stamford Bridge -- pemain tengah Wales itu terpaksa menarik diri sebelum perlawanan ekoran kecederaan betis -- menjejaskan percaturan Arsenal sambil Hudson-Odoi mempamerkan kelincahannya pada awal permainan, termasuk memenangi penalti yang disia-siakan oleh Morata apabila gagal menewaskan Cech dari jarak 12 ela.

Jaringan minit kelima oleh Antonio Rudiger sepatutnya menjadi pemisah kepada pertemuan di Stadium Aviva itu, dengan pemain antarabangsa Jerman berkenaan memanfaatkan pertahanan longlai lawan untuk menanduk masuk sepakan penjuru Cesc Fabregas.

Bagaimanapun, Alexandre Lacazette meledak pada minit ke-93 untuk melanjutkan permainan ke babak penentuan penalti.

Terdahulu, Arsenal tewas kepada Atletico Madrid melalui penentuan penalti sementara Chelsea mengalahkan Inter.

Selepas lima percubaan yang sempurna, Cech merebahkan badan ke kanan untuk menepis sepakan Ruben Loftus-Cheek, sekali gus memberi peluang kepada Alex Iwobi untuk memastikan Arsenal mengakhiri kempen ICC dengan bergaya.

Chelsea kini berharap dapat bangkit ketika menentang Manchester City dalam saingan Perisai Komuniti, Ahad ini, dengan Arsenal akan menghadapi Lazio sebelum menutup kempen pra-musim, sehari sebelum itu.