Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, mahu menamatkan angan-angan Manchester United dalam mencabar kejuaraan musim ini apabila kedua-dua pasukan bertemu di Old Trafford esok.

Aksi hambar United musim ini memperlihatkan mereka ketinggalan enam mata di belakang Arsenal dan lapan mata di belakang pendahulu, Liverpool.

"Kami hanya ketinggalan dua mata di belakang Liverpool, jadi kami mahu memastikan kami kekal mengekori dengan rapat," Cech memberitahu Arsenal Player.

"United ketika ini ketinggalan enam mata di belakang, jadi sudah tentu kami mahu mereka terus ketinggalan. Mereka perlu menang jika mahu kekal dalam perlumbaan merebut kejuaraan musim ini.

"Perlawanan ini sangat penting buat kedua-dua pasukan, jadi kami perlu bersedia mengekang corak permainan mereka.

"Tidak kira di mana kedudukan kedua-dua pasukan ketika ini, pertemuan Arsenal dan Manchester United adalah satu perlawanan yang penting."