Petr Cech kembali ke Chelsea untuk berkhidmat sebagai penasihat teknikal dan prestasi.

Cech menyertai Chelsea sebagai pemain pada 2004 selepas cemerlang di Rennes dan menikmati 11 tahun di Stamford Bridge, membentuk dirinya sebagai salah seorang penjaga gol terbaik pada ketika itu.

Dia menyertai Arsenal pada 2015 selepas Thibaut Courtois menjadi pilihan utama Chelsea dan kerap diturunkan dalam kesebelasan utama The Gunners selama tiga tahun sebelum menjadi penjaga gol sokongan kepada Bernd Leno musim ini.

Cech mengumumkan persaraannya Januari lalu dan mengesahkan akan kembali berkhidmat bersama The Blues.

"Saya berasa sangat bertuah dengan peluang untuk kembali berkhidmat untuk Chelsea dan membantu pasukan menghasilkan persembahan berprestasi tinggi sejak 15 tahun lalu," kata Cech.

"Saya tidak sabar dengan cabaran baru ini dan berharap menggunakan pengalaman saya dalam bola sepak untuk menghasilkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang."

Aksi terakhir Cech sebagai pemain menyaksikan dia berdepan Chelsea dalam aksi final Liga Europa (UEL) yang berakhir dengan kekalahan 4-1 di Baku, bulan lalu.

Cech bakal bergandingan dengan seorang lagi legenda Chelsea, dengan Frank Lampard yang dilihat sebagai pilihan untuk mengambil alih daripada Maurizio Sarri yang meninggalkan London untuk menyertai Juventus.