Cech gesa kubu Arsenal agar lebih kebal

By Stefan Coerts 11 January 2017
 Cech gesa kubu Arsenal agar lebih kebal
Penjaga gol Arsenal, Petr Cech, mengakui rekod buruk kerap dibolosi dalam kempen kali ini mengecewakannya. 

Cech, 34, mengharungi lapan perlawanan tanpa dapat mengekalkan rekod bersih pada November dan Disember -- pencapaian terburuknya dalam karier Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia turut dibolosi dalam pertemuan dengan West Brom dan Crystal Palace, namun dalam masa yang sama mencatatkan rekod bersih sebanyak enam kali pada 2016-17.

Cech menekankan bahawa apa yang lebih penting adalah kemenangan, namun rekod bersih yang rendah tidak memberi kepuasan kepada penjaga gol berpengalaman itu. 

"Jelas sekali apa yang lebih penting adalah kemenangan tapi kadang-kadang bagus juga untuk tidak dibolosi dengan keampuhan di bahagian benteng," kata Cech kepada laman rasmi kelab itu. 

"Setakat ini, ia merupakan kempen yang berbeza kerana saya berpendapat kami beraksi baik tapi kami mengharungi perlawanan dengan dibolosi sekurang-kurangnya sekali dalam setiap perlawanan. 

"Kami menghadiahkan beberapa sepakan penalti dan ia merupakan satu-satunya gol yang dibolosi, jadi ada kalanya kami tidak bernasib baik tapi kami perlu melipatgandakan usaha dan aksi menyelamat yang lebih baik lagi."

Sekalipun kerap melepaskan gol berbanding kebiasaannya, Cech masih berpuas hati dengan prestasinya musim ini. 

"Secara keseluruhannya, saya bermain di tahap yang sepatutnya," tambahnya. 

"Saya mahu mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan dan mengekalkan standard sepanjang masa. 

"Saya tidak mahu melalui fasa di mana saya gagal bermain dengan baik, ia belum berlaku lagi dan saya harap dapat mengekalkan tahap seperti ini."

About Author

Stefan Coerts

Comment