Penampilan lapan musim dalam Bundesliga yang diraih penjaga gol, Bernd Leno, dianggap sebagai satu pencapaian yang kecil apabila melangkah ke Liga Perdana Inggeris, kata rakan sepasukannya di Arsenal, Petr Cech.

Leno, 26, menyertai The Gunners dari Bayer Leverkusen menerusi yuran perpindahan GBP19.2 juta (RM102 juta) pada Jun lalu tetapi masih belum mendapat kepastian sama ada bakal muncul selaku pilihan utama buat pengendali pasukan, Unai Emery.

Pemain antarabangsa Jerman itu bakal bersaing dengan Cech, pemain yang menjadi penjaga gol nombor satu pasukan dalam tiga musim terakhir, dan bekas pemain Chelsea itu memberikannya amaran untuk tidak memandang rendah cabaran di England.

"Terdapat banyak perkara yang tidak dilalui oleh penjaga gol lain apabila beraksi dalam liga lain berbanding saingan di England, terutama Liga Perdana Inggeris," ujar Cech.

"Tentunya anda mempunyai fizikal dan corak bola sepak yang dimainkan dalam Liga Perdana Inggeris, penjaga gol tidak dilindungi seperti saingan di Eropah atau liga lain.

"Jadi, saya rasa anda perlu mempelajarinya sendiri serta menyesuaikan diri. Itu lebih baik untuk anda."

Sementara itu, Leno yang pernah beraksi menentang Cech dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada 2011, percaya dia akan dapat mempelajari pelbagai perkara apabila bekerjasama dengan pemenang empat kali Liga Perdana Inggeris itu.

"Saya akan belajar banyak benda bersamanya setiap hari," kata Leno.

"Dia memiliki pengalaman luas dan beraksi dalam banyak perlawanan. Saya juga mempunyai pengalaman tetapi dia tentu lebih banyak, jadi saya boleh mempelajarinya.

"Cech merupakan seorang penjaga gol yang saya kagumi ketika membesar. Saya masih ingat akan aksi pertama Liga Juara-Juara ketika berusia 19 tahun dan menentangnya.

"Selepas perlawanan, dia memberitahu saya bahawa ia satu perlawanan yang bagus. Itu adalah tujuh tahun lalu dan kini kami bersama di Arsenal. Ia gila."