Petr Cech berharap Alexis Sanchez dan Mesut Ozil akan kekal bersama Arsenal dan percaya ia bergantung kepada pasukan bagi meyakinkan gandingan itu untuk kekal di Stadium Emirates.

Kontrak Sanchez dan Ozil bakal tamat pada Jun 2018 dan kelab gagal mendapatkan persetujuan dalam perbincangan mengenai pembaharuan kontrak mereka hingga menimbulkan spekulasi Ozil dan Sanchez akan meninggalkan Arsenal.

Bagaimanapun, Cech optimis bintang Arsenal itu akan terus menyarung jersi The Gunners buat beberapa musim lagi.

"Saya berpendapat pasukan sangat memerlukan pemain berkualiti seperti mereka untuk melakar kejayaan di pentas domestik mahupun di Eropah," kata Cech.

"Jika pasukan mampu mempamerkan saingan yang lebih kompetitif, setiap pemain bersedia untuk memberikan yang terbaik untuk memenangi perlawanan, ia akan membantu mereka membuat keputusan menandatangani kontrak baru."

Arsenal kini menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL), lapan mata di belakang Chelsea.

Mereka tersingkir daripada Piala EFL selepas tewas kepada Southampton, namun masih berpeluang untuk merebut semula Piala FA selepas menewaskan Preston North End 2-1 manakala cabaran getir menanti dalam Liga Juara-Juara (UCL) apabila mereka bakal bertemu Bayern Munich dalam saingan kalah mati.