Andy Carroll menegaskan pemain-pemain West Ham tidak terganggu dengan isu luar padang yang menyelubungi masa depan Dimitri Payet.

Anak buah Slaven Bilic mendaki ke tangga pertengahan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama musim ini susulan kemenangan 3-1 ke atas Middlesbrough, kemenangan kedua mereka sejak Payet menyatakan hasratnya untuk berhijrah.

Pemain Perancis itu kini diarahkan menjalani latihan bersama skuad bawah 23 tahun kelab tersebut selepas dia mendesak untuk berpindah ke bekas kelabnya, Marseille.

Namun, Carroll yang meledak tiga gol daripada enam gol yang terhasil menerusi kemenangan berturut-turut ke atas Crystal Palace dan Boro -- termasuk gol sepakan gunting dalam kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace -- berazam agar situasi itu tidak memberi kesan ke atas persembahan pasukannya.

"Tindak balas kami membuktikan bahawa pemain-pemain memiliki semangat dalam bola sepak, untuk pengurus dan juga kelab ini," katanya kepada pemberita.

"Tiada siapa yang akan menjejaskannya. Perjuangan yang diberikan pemain dan sokongan penyokong cukup hebat.

"Semangat berpasukan kami ketika ini begitu tinggi sejak saya tiba.

"Persekitaran sangat hebat dan ia dibuktikan di atas padang. Dalam bilik persalinan, kami ketawa dan bergurau senda.

"Ia membantu pemain untuk menampilkan aksi terbaik seperti mana kami sedang melalui prestasi hebat ketika ini."