Penyerang West Ham, Andy Carroll menegaskan tiada pemain yang lebih besar daripada sesebuah kelab susulan keengganan Dimitri Payet untuk bermain bersama pasukan itu lagi.

Payet sedang dalam perancangan untuk keluar dari Stadium London selepas pengendali, Slaven Bilic mendedahkan pemain itu enggan beraksi dan mahu berhijrah.

Difahamkan, Payet mahu kembali ke Marseille, 18 bulan selepas meninggalkan kelab itu untuk ke London.

Selepas tidak beraksi dalam kemenangan 3-0 ke atas Crystal Palace pada Sabtu, Carrol mengkritik rakan sepasukannya itu.

"Pada saya, tiada pemain yang lebih besar berbanding sesebuah kelab. Itulah perkara yang sering diigatkan kepada pemain dan pihak pengurusan. Kami membuktikan bahawa kami bermain sebagai satu pasukan untuk mengejar tiga mata," ujar Carroll.

"Dengan segala yang berlaku minggu ini, kemenangan ini menepis segala kritikan yang telah dilontarkan.

"Kami menerima pelbagai panggilan telefon dan mesej berkenaan perkara ini tetapi kami mengetepikan semua itu dan berkerja keras sebagai satu pasukan. Kami cukup profesional. Kami tahu kelab ini sangat bermakna buat penyokong."