Pemain tengah Manchester United, Michael Carrick, menjelaskan bahawa dia akan terus menilai masa depannya pada setiap tahun tetapi mungkin mengikut jejak langkah yang sama seperti Ryan Giggs.

Bekas pemain sayap Wales itu beraksi sehingga dia berusia 40 tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara pada 2014 selepas mengharungi kariernya hanya bersama The Red Devils sebelum menceburi bidang kejurulatihan.

Carrick yang baru menandatangani kontrak untuk kekal bersama pasukan untuk semusim lagi mendedahkan dia sedang menimba pengalaman daripada Giggs, Paul Scholes dan Gary Neville yang memiliki karier yang panjang sebagai pemain.

"Saya masih lagi mahu beraksi sebagai pemain. Apa yang saya perlu lakukan adalah menilai diri saya pada setiap tahun," kata Carrick.

"Saya banyak meraih pengalaman daripada Giggs, Scholes dan Gary Neville, pemain-pemain yang beraksi sehingga penghujung usia 30-an mereka.

"Saya mungkin mengikut jejak langkah Giggs tetapi saya masih belum pasti."

Carrick gembira dengan momentum positif United apabila mengakhiri musim 2016-17 dengan dua trofi di bawah kendalian Jose Mourinho dan kini meletakkan sasaran untuk saingan Liga Juara-Juara (UCL) pada 2017-18.

"Kami melihat ke hadapan dan kami mahu meraih lebih banyak trofi pada musim akan datang.

"Ia merupakan sasaran kami untuk menjuarai Liga Europa (UEL) dan meraih slot ke UCL musim hadapan.

"Kelab seperti Manchester United perlu bersaing dalam UCL dan mencabar untuk menjulang trofi tersebut. Anda perlu beraksi di pentas itu dan mencabar pasukan-pasukan elit di Eropah."